Showing posts with label BTN. Show all posts
Showing posts with label BTN. Show all posts

Sunday, 15 May 2016

Budak Lundang di Glasgow

November 2006

Pada bulan ini aku telah mengikuti program BTN luar negara. Program ini khas untuk mereka yang ingin melanjutkan pelajaran peringkat MSc dan PhD di luar negara dan wajib lulus. Jika tidak lulus dikehendaki untuk menghadiri sekali lagi. Sebagai syarat utama ke luar negara untuk tajaan KPT. Semasa porgam ini aku telah berjumpa dengan ramai lagi pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara tidak kiralah pada peringkat MSc dan juga PhD. Agak menarik kerana pelbagai bidang dan kursus yang akan diikuti telah dikongsi bersama semasa program ini.

Untuk makluman program BTN merupakan program bagi memperkasakan jati diri supaya kita tidak lalai dengan tanggungjawab semasa berada di luar negara. Banyak benda baru yang telah dipelajari berkenaan konsep kewarganegaraan dan persekutuan. Siapa sangka pada umur ini masih lagi perlu belajar tentang sejarah Malaysia.

Program ini berjalans elama seminggu di Ulu Kernas, Negeri Sembilan. Dengan bantuan Abang sulungku akhirnya kami berjaya sampai untuk pendaftaran diwaktu pagi selepas bertolak dari Kuala Lumpur. Terletak di kawasan yang agak jauh dari bandar di ladang kelapa sawit. Mungkin untuk memudahkan pengajaran kerana dilingkungi oleh hutan yang menghijau. Faktanya inilah pertama kaki aku sampai di sini. Program ini disusuli oleh aktiviti luar kelas dan pengajaran. Sedikit sebanyak membantu dalam memperkasakan jati diri.

Bagi aku program ini adalah penting sebagai peringatan supaya kita tidak lalai dalam menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Ini adalah kerana terdapat juga mereka yang ditaja dan tidak kembali bertugas di dalam negara selepas menamatkan program pengajian. Sedikit sebanyak menunjukkan kurangnya jati diri untuk berkhidmat dengan penaja masing-masing.

... bersambung...


 

Thursday, 12 May 2016

Budak Lundang di Glasgow

September 2006

Nampak gayanya terpaksa ditunda pendaftaran bagi kemasukan ke PhD disebabkan oleh kursus BTN yang belum dihadiri. Lanjutan penerimaan tawaran kemasukan panggilan telefon telah dilakukan bagi mengikuti kursus BTN luar negara. Malangnya kursus tersebut akan diadakan pada bulan November 2006 di Ulu Kernas. Ini sedikit sebanyak memberi peluang dari segi masa untuk membuat persiapan dan juga menghabiskan detik-detik bersama keluarga.

Sepanjang bulan ini tidak banyak yang dilakukan. Duit elaun pakaian panas sudah diterima dan perlulah digunakan sebaik mungkin. Sedikit persediaan pakaian untuk mengharungi cuaca sejuk telah dilakukan. Walau bagaimanapun, cuma sepasang jaket tebal yang dibeli kerana harganya yang mahal di Malaysia. Aku berpendapat lebih baik beli di sana sahaja. Persiapan cuma agak ringkas dengan pembelian beg hiking sahaja. Tidak seperti orang lain yang membeli beg yang bersaiz lebih besar. Malas untuk membawa beg yang besar kerana leceh.

Hari- hari terakhir di Lundang lebih banyak dihabiskan dengan keluarga. Menikmati masakan Ibu dan bergurau senda dengan anak saudaraku. Masa seolah berlalu begitu cepat. Hari yang mendatang terasa bagaikan angin lalu.

Segala proses dan dokumentasi telah diselesaikan dengan bantuan pihak agen yang dilantik. Visa perjalanan sudah dipohon dan cuma menunggu masa untuk diambil kembali. Tarikh tundaan juga sudah dilaporkan kepada pihak Universiti disebabkan masalah kursus BTN. Seperti yang dijangka tiada masalah berbangkit berkenaan perkara tersebut. Agak bersyukur kerana bakal penyelia yang dilantik di sana amat memahami masalah yang dihadapi. Setiap hari aku berdoa supaya di mudahkan segala urusan dan dipercepatkan mencapai cita-citaku.

Lupa untuk diberitahu bahawa dahulu aku bercita-cita untuk menjadi doktor. Namun apakan daya disebabkan terlalai dan terleka dengan duniaku sewaktu di peringkat matrikulasi menyebabkan aku terpaksa melupai hasratku tersebut. Dan bermula dari situlah tertanam satu azam untuk mendapatkan title Dr walaupun terpaksa mengambil masa yang lebih lama untuk mendapatkan title tersebut. Orang kata usaha tangga kejayaan. Tapi aku kata usaha sampai PhD. Ini mungkin peluang kedua yang telah ditentukan oleh-Nya sebagai peringatan supaya hidup kita jangan lalai dan sentiasa mengingati-Nya.

....bersambung...