Wednesday, 11 May 2016

Budak Lundang di Glasgow

August 2006

Tidak pernah terfikir dalam hidupku untuk menjejak kaki ke bumi penjajah jauh di Eropah. Satu pengalaman yang tidak mungkin dilupakan. Masih lagi teringat di saat menerima surat jawapan dari Universiti of Glasgow.

' I am pleased to inform you that the Head of the Faculty Graduate School Committe has approved your admission as a supervised postgraduate student in the Division of Infection & Immunity with effect from 1 October 2016.'

Orang yang pertama yang mengetahui berita gembira ini adalah Ibuku. Masih teringat kata Ibuku sebagai pembakar semangat.

' Pergi lah belajar dan tunaikan cita-cita. Jika ditakdirkan Allah mengambil nyawa Ibu ketika kau berada di sana, Ibu halalkan segala makan dan minum sejak dari kecil. Ibu ampunkan segala dosa kau sehingga nafas Ibu yang terakhir'.

Secara tidak sedar berkaca air mata dan aku gagahi untuk tidak menitiskan air mata di depan Ibuku. Aku tahu pada kali ini aku akan meninggalkan Ibu dan keluarga buat masa yang lama sekurang-kurangnya 3 tahun di bumi asing. Walaupun dari umur 13 tahun aku telah menjadi penghuni tetap asrama sehinggalah sekarang tapi kali ini situasinya adalah berbeza sama sekali. tempat baru yang jauh berbeza dari segi agama, adat dan budayanya yang pada suatu ketika dulu pernah menjajah negaraku. Masih bercampur aduk dengan keinginan untuk mendapatkan PhD dan pada masa yang sama agak risau memikirkan keadaan Ibu dan Ayah di kampung.

'Tak payahlah risau pasal Ibu dan Ayah. Kami ada 12 anak. Cuma seorang yang akan berjauhan. InsyaAllah segala cabaran akan berakhir dengan kejayaan. Diringi doa dari kami sekeluarga. Jadi diri elok-elok di tempat orang dan solat jangan lupa. Jangan mudah lupa asal usul bila sudah berjaya'.

Aku masih mendiamkan diri. Cuma mampu tersenyum sambil fikiran melayang mengenangkan tempoh masa yang agak lama berjauhan dari keluarga. Aku masih teringat yang surat tawaran melanjutkan PhD di UPM sudah ku terima sebelum ini. Sepatutnya aku perlu mendaftarkan diri pada June 2006. Tapi apakah daya disebabkan oleh permintaan Ketua Jabatan yang mahukan aku menerokai dunia luar dari Malaysia.

'Apakah betul tindakan ku ini? Apa yang akan ku hadapi di bumi asing? Bermacam-macam persoalan yang tiba-tiba muncul di fikiranku.

Bahasa Inggeris ku tidaklah sebagus seperti yang disangkakan walaupun IELTS sudah ku lepasi. Termenung ku lagi memandang jalan raya yang sentiasa sibuk dengan kenderaan. Seolah-olah menggambarkan segala permasalahan di fikiran ku. Aku hanyut dalam duniaku sendiri.

...bersambung....

No comments:

Post a Comment