Thursday, 12 May 2016

Budak Lundang di Glasgow

Oktober 2006

Bulan ini sepatutnya aku sudah berada di bumi asing bagi mengikuti program PhD di sana. Namun sudah ditunda untuk pendaftaran sehingga bulan Januari 2007. Pada bulan ini satu kenduri doa selamat telah dilakukan bagi mendoakan perjalanan diberkati dan dipermudahkan oleh-Nya. Aku masih teringat pada tahun 1992, kenduri yang sama juga telah dilakukan bagi memohon keselamatan bagi Abangku yang melanjutkan pelajarannya ke Amerika dan pada ketika itu tidak ramai anak Melayu yang berjaya untuk ke luar negara. Dan pada kali ini majlis yang sama pula diadakan untuk ku. Bersyukur dengan kehadiran orang kampung bagi bersama-sama mengimarahkan majlis tersebut.

Sekali sekala aku terpaksa ke Pulau Pinang untuk menguruskan dokumentasi dengan pihak USM selaku penaja bagi program PhD ini. Lupa untuk diberitahu bahawa program PhD ini telah ditanggung sepenuhnya oleh pihak USM bersama dengan KPT. Program ini merupakan salah satu usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi menambah bilangan pemegang ijazah PhD di dalam negara. Dengan proses yang agak ketat dan terpaksa melalui pelbagai karenah birokrasi akhirnya aku berjaya mendapat tempat dalam program tersebut dengan bersyarat. Syaratnya ialah perlu menamatkan pengajian dalam tempoh masa yang dipersetujui dalam perjanjian dan perlu berkhidmat dengan USM selama 7 tahun. Memikirkan cita-cita dan peluang yang terhidang di depan mata, aku tidak sedikit pun berasa ragu-ragu untuk terus menerima tawaran tersebut. Bukan setiap hari peluang ini akan muncul. Mungkin pada masa tersebut itulah keputusan yang terbaik pernah dilakukan dalam hidupku.

Selain kursus BTN, aku juga perlu mengikuti kursus RLKA USM sebagai pendedahan dan peringatan sebelum berlepas ke luar negara. Kursus yang diadakan seminggu ini memberi peluang untuk mendengar pengalaman mereka yang terdahulu yang mengikuti program ini di luar negara. Sedikit sebanyak merisaukan aku di tambah pula sentimen anti -Islam di negara Eropah yang memuncak disebabkan oleh serangan berani mati di Amerika pada 11 Septermber 2002 yang didakwa dilakukan oleh orang Islam. Yang ini aku meragui kesahihannya.

Apabila memikirkan tentang Glasgow, sering aku ditanya sebab memilih University of Glasgow sebagai universiti pilihan. Jawapannya tetap sama disebabkan oleh pengaruh filem 'Braveheart' yang dilakonkan oleh Mel Gibson. Secara ikhlas aku tertarik dengan budaya dan keindahan negara tersebut. Dan tiada ku sangka minat yang mendalam tentang filem tersebut boleh membawaku ke sana. Filem itu sudah ditonton berpuluh kali. Itulah antara filem yang meninggalkan impak yang besar dalam hidupku. Kelakar kan?

....bersambung...

    

No comments:

Post a Comment